Assalamualaikum, salam kasih sayang…bagaimana harus Cik Kuntum mulakan…berat sedih dan sebal rasanya hati ni untuk menceritakan apa yang telah terjadi dalam hidup ini, tak payah cerita? Cik Kuntum pun rasa “ermm wajarkah kisah hidup ini diceritakan?” setelah meneliti dan memikirkan ianya wajar dikongsikan bersama untuk teman-teman lain mengambil pengajaran darinya maka inilah bait-bait ayat yang kalian sedang tatap, baiklah Cik Kuntum mulai dengan lafaz Bismillahirahmanirahim…
November Rain~
Banyak sekali dugaan datang melanda pada bulan bernama “November” ini jelma, dari sekecil-kecil perkara dan permasalahan dan merebak seumpama barah pada kehidupan Cik Kuntum, bulan November menyaksikan patahnya semangat diri yang sebelum ini begitu utuh dan kukuh…Menjadi seorang pengusaha servis perkahwinan bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan…tinggi sekali tuntutan yang harus dibayar untuk berjaya, jatuh tersungkur luka dan cedera itu lumrah dalam perniagaan, yang penting iman harus sentiasa dijaga…awal bulan oktober hidup begitu senang pelbagai bayaran diterima dan kala itu diri dipergunakan sesuka hatinya oleh berberapa individu yang pentingkan diri…namun semua itu juga berpunca dari kesilapan saya kerana perangai yang saya ada ini iaitu terlalu cepat berasa kasihan dan simpati memakan diri…
Pada akhir bulan September begitu banyak tempahan servis yang datang, bertapa bersyukurnya diri ini pada ilahi yang mengurniakan rezeki yang melimpah ruah… oleh kerana banyak tempahan yang diterima maka Cik Kuntum pun memulakan usaha mencari pekerja sambilan, usaha demi usaha membuahkan hasil berberapa individu juga sedang memerlukan pendapatan sampingan maka kepercayaan diberikan buat individu-individu ini. Sebulan berlalu dan acara mega yang memerlukan komitmen bersama semakin dekat harinya, Cik Kuntum sentiasa memastikan bahawa mereka senang bermajikan diri ini, kebajikan pekerja menjadi keutamaan kerana bimbang diri menjadi majikan yang zalim…akan tetapi “Madu Yang Diberi Dibalas Tuba” dari berberapa individu berkenaan telah meminta gaji pendahuluan sebelum tarikh melaksanakan projek mega… Dan kerana hati yang sentiasa bersangka baik ini Cik Kuntum pun memberi gaji buat individu-individu ini dengan harapan mereka lebih bermotivasi apabila melaksanakan amanah yang diberikan. Semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah berberapa hari sebelum projek mega tersebut seorang darinya memberikan alasan tidak dapat bersama kerana mempunyai komitmen lain… sewaktu itu Cik Kuntum masih boleh menerima alasan tersebut dan berusaha mencari penganti lain, disaat-saat kesibukan yang dilalui kerana tarikh projek tersebut semakin dekat seorang lagi menimbulkan permasalahan katanya teman lelakinya tidak melepaskannya pergi jika dia hendak pergi teman lelakinya berkeras untuk ikut sama walaupun telah bersuami dan punyai anak-anak… Diri ini hanya mampu tersenyum kelat apabila individu ini meminta saya menukarkan tayar keretanya supaya dia dapat travel bersama bersama teman lelakinya dan anak kecilnya… Saya terkedu apa mungkin mahu mengerjakan event tetapi membawa anak kecil? dan teman lelaki? jika yang dibawa adalah suami mungkin ianya bukan suatu masalah bagi saya… Demi kerana menjaga nama baik dan enggan bersubahat saya menyatakan “tidak” dikhuatiri jika individu ini membawa teman lelakinya dan tinggal sebilik saya akan terpalit dosa berat yakni zina… Secara jujur saya memberitahunya dia tidak boleh membawa teman lelakinya bersama kerana bapa saya akan turut serta dalam program tersebut dan saya tidak mahu bapa saya mencela perbuatannya yang mencurangi suaminya… maka kesannya individu tersebut enggan turut serta. Dan saya mulai susah hati hari semakin hampir dan kakitangan telah membuat perangai…
Pada masa tersebut saya pula perlu untuk ke Kuala Lumpur selama 3 hari kerana barangan yang saya tempah sedari bulan September belum dikirim oleh pihak kilang maka saya perlu ke Kuala Lumpur membuat tindakan sendiri untuk menyelamatkan projek mega saya…pelbagai kesukaran seperti terlepas kapal terbang dan terpaksa membeli tiket baru pada harga RM690 caj teksi Rm120 dari KLIA ke kawasan kilang pembekal barangan perkahwinan tersebut…. Pada masa dan ketika itu hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui taufan di fikiran dan ribut di hati ini… setelah selesai urusan-urusan dan mesyuarat pendek bersama pengilang untuk kerjasama pada masa akan datang yang lebih baik saya ke Kuala Lumpur mengatur hal lain-lain yang berkaitan.
Sewaktu hendak kembali ke Sarawak saya telah menyewa sebuah MPV dengan kos RM120 untuk ke KLIA kerana sahabat yang saya percaya akan membantu menghantar saya enggan menjawab panggilan sedangkan telah berjanji untuk menghantar saya ke KLIA, saya terkilan dengan manusia seperti itu walaupun telah memaafkannya…bagi saya jika kita tidak mampu melaksanakan sesuatu bicaralah sebaik-baiknya jangan terus menghilang dan menyembunyikan diri…
Barangan kargo saya yang melebihi 100 kilo dihantar ke pusat kargo, dan permasalahan baru terjadi apabila saya diperkenalkan kepada ejen kargo bukannya pihak MAS Kargo, kesilapan saya ketika itu ialah terlalu percaya dan terlalu bersangka baik…pada saat saya mula-mula mendapatkan khidmat kargo ini saya cuma dimaklumkan bahawa caj per/kg untuk kargo tersebut cuma RM2.98 sahaja. Dan bajet saya telah saya sediakan cukup-cukup pada ketika tersebut… pihak kargo tersebut telah menyatakan bahawa barangan saya akan dihantar melalui penerbangan jam 8 malam dan akan sampai di Kuching pada jam 10 malam dan boleh memunggah barang pada jam 10.30 malam… setelah jam 10 malam saya mulai ke Pusat Kargo & Pelepasan Kastam tetapi alangkah kecewanya saya apabila dimaklumkan barangan saya akan menggunakan penerbangan terakhir iaitu jam 12 tengah malam dan cuma akan sampai di Kuching pada jam 2 pagi, maka baliklah saya dengan hati yang terkilan…bimbang kerana saya harus memulakan perjalanan jauh ke Bandar Sibu pada jam 6 pagi dan seharusnya berada di Bandar Sibu pada jam 1 petang….sekitar jam 2.30 pagi saya kembali semula ke Pusat Kargo & Perlepasan Kastam untuk menuntut barangan… Malangnya barangan hanya boleh dituntut pada jam 9 pagi… Ya Allah pada ketika itu kecamuk perasaan tidak dapat saya bayangkan… saya hanya berserah pada Allah SWT agar segala-galanya dipermudahkan… semalaman saya tidak dapat tidur kerana bimbang tentang kelewatan barangan… sehingga jam 9 pagi saya kembali semula ke Pusat Kargo & Pelepasan Kastam dan dikejutkan dengan jumlah yang saya perlu bayar iaitu RM1500…saya benar-benar terkedu tanpa membuang masa saya terus menyiapkan semuanya…
Masalah belum selesai, rupanya ada lagi dugaan kecil iaitu pembantu saya yang lagi seorang meminta pendahuluan RM200 untuk membaiki kenderaan kerana mahu kenderaannya berada dalam keadaan yang tidak baik…maka demi keselamatan saya turutkan…jam 12 tengah hari setelah memunggah barangan di tempat-tempat tertentu saya meneruskan perjalanan ke Bandar Sibu, Alhamdulillah Allah SWT permudahkan perjalanan kami tanpa sebarang halangan walaupun kami lewat ke lokasi projek…Dan permasalahan paling kritikal mula muncul satu demi satu apabila kek pengantin yang setinggi 5 tingkat retak dibahagian bawah akibat gegaran, fondant untuk kek cawan cair… inai pengantin tidak serap… Beban yang saya tanggung semakin membesar dan memenatkan fikiran, pada ketika itu hanya pada Allah SWT saya berserah… diikuti oleh kecuaian pembantu saya yang merangkap jurumekap gagal membawa aksesori dan tidak mengemaskan tool box nya yang menjadi amanahnya…sewaktu itu tanpa pengetahuan tentang Bandar Sibu saya ke kedai-kedai andaman dan butik-butik pengantin untuk mencari aksesori pengantin…penat? putus asa? ya saya putus asa saya benar-benar merasai keperitan pada ketika itu…segala-galanya yang saya impikan dan kerja keras saya pada projek itu musnah kerana kepercayaan saya pada pembantu-pembantu saya disia-siakan… kerana kegagalan majlis terbabit saya telah dimaukan di laman sosial facebook dan perniagaan saya terjejas dan 5 tempahan telah dibatalkan oleh pelanggan gara-gara insiden tersebut… Malu? hanya Allah SWT tahu betapa beban malu yang saya tanggung akan tetapi saya redha…individu-individu yang seharusnya bersama dengan saya pada ketika tersebut hilang entah ke mana jangankan bertanya khabar, batang hidung pun tidak nampak…
Seterusnya, Cik Kuntum menjangkakan masalah berjaya diselesaikan setelah seperti orang kurang waras bekerja keras tetapi masalah baru menjelma…lebih berat dan hebat! kerana masalah-masalah ini, Masih Adakah Yang Sayang? baca sambungan entri ini minggu hadapan…
Entri Cik Kuntum Ketika Bermasalah
p/s : Cik Kuntum dah nak separuh pengsan sebak bila menaip entry ini :’(